SELAMAT DATANG

Sabtu, 05 April 2014

ADAB KITA BERJAMAAH,,,,,USTAZ IDRIS HAJI AHMAD......27/3/14

Ikhlas kerana Allah.

Sebelum kita pergi lebih jauh, kenapa kita berjuang di dalam Pas. Sudah pasti jawapannya ialah tidak lain dan tidak bukan kerana Allah SWT. Jika kita berjuang kerana dunia belum tentu kita akan perolehi apa yang kita hajat. Jika kita sertai Pas kerana hendak bertanding di dalam pilihanraya, belum tentu nama kita tersenarai sebagai calon. Misalnya di dalam satu kawasan hanya dua atau tiga orang sahaja yang dipilih sebagai calon daripada beribu ahli Pas di satu kawasan. Rugi kita di sisi Allah SWT jika matlamat kita lain daripada apa yang diizin oleh Allah SWT yang bermaksud "Pada hal mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas dengan mentaati perintah agamaNya" (Albayyinah 98:5)

Ikut Arahan Jamaah

Tidak molek, jika bersama dengan jamaah, tiba-tiba tidak mahu ikut arahan jamaah. Apabila kita berintima' dengan jamaah maka wajib kita mengikut arahan jamaah. Sebuah jamaah tidak akan maju jika mempunyai ahli yang ikut kepala sendiri, tanpa mahu ikut arahan jamaah. Mana-mana jamaah akan mengalami masalah jika mempunyai ahli sedemikian rupa. Manusia ini sebenarnya tidak boleh bersama jamaah. Jenis manusia yang tidak boleh berkawan dengan manusia lain. Sebenarnya manusia ini ada penyakit di dalam dirinya iaitu penyakit tidak boleh ikut arahan. Peringatan Nabi SAW
"Bahawa sesiapa yang taat kepada aku, maka ia sudah taat kepada Allah. Dan bahawa sesiapa yng derhaka kepada Aku , maka ia derhaka kepada Allah. Dan barang siapa yang taat kepada Amir ( Ketua), maka ia telah taat kepada aku. Dan barang siapa yang derhaka kepada ketua, maka ia derhaka kepada aku" (Muttafaqun Alaih)

Tidak Mengabaikan Amanah Jamaah

Apabila kita menyertai jamaah Pas, maka kita mempunyai tanggungjawab untuk memikul amanah yang diarahkan oleh jamaah. Jika kita tidak melaksanakan amanah yang dipikul kepada kita, siapa lagi yang akan melaksanakan amanah ini. Perlu diingat, jika kita tidak melaksanakan amanah jamaah, maka akan dipersoal oleh Allah SWT di akhirat nanti. Di atas dunia lagi kita melakukn jenayah dengan jamaah, sehingga musuh kita bermaharajela. Sifir mudah, kita telah membantu Umno secara percuma apabila kita tidak membantu Pas dengan melaksanakan amanah yang sepatutnya. Tidak ada makna kita marah kepada Umno, sedangkan kita sendiri membantu Umno secara tidak langsung.

Merasakan Jamaah Milik Bersama.

Semangat ini akan merasakan kita sayang kepada jamaah melebihi segala-galanya. Pada kita Pas bukan hak Mursyidul Am, bukan hak Presiden, tetapi milik bersama. Maju mundur perjuangan Pas atas daya usaha kita (biiznillah). Jika ada perasaan ini jamaah akan selamat. Kita akan terasa jika ada yang memfitnah Pas, lantas kita akan membetulkan fitnah tersebut. Bukannya kita menokok tambah untuk menabur fitnah. Siapa lagi yang hendak memikirkan tentang perjuangan Pas, jika tidak kita?.

Kerja Dengan Penuh Tekun.

Sabda Rasulullah SAW "Sesungguhnya Allah suka kepada seorang yang bekerja dengan penuh ketekunan". Kita mesti yakin bahawa bekerja di dalam jamaah adalah ibadah dengan syarat ikhlas kepada Allah. Kita mesti rasa malu dengan penegak munkar yang tidak jemu-jemu mencari formula bagaimana hendak menarik orang kepada program mereka. Sedangkan kerja mereka tidak diredhai oleh Allah SWT. Mereka merancang dengan penuh strategik untuk menarik sokongan kepada program mereka. Sepatutnya kita sebagai anggota jamaah perlu menggandakan usaha kita tanpa penat dan jemu, kerana kita adalah Ansarullah. Perlu diingat walaupun perjuangan kita benar tetapi jika kita tidak berkerja dengan penuh ketekunan maka usaha ini akan gagal. Sebagaimana kata-kata Saidina Ali Karramallahuwajhah "Kebenaran tanpa penyusunan akan ditewaskan oleh kebatilan yang mempunyai penyusunan yang rapi".

Thiqah Dengan Kebijaksanaan Pemimpin.

Hidup berjamaah inilah sifat yang mesti disuburkan. Apa makna dia seorang pemimpin jika kita sendiri tidak thiqah kepadanya. Menganggap pemimpin semua bodoh, kita sahaja yang cerdik adalah suatu perkara yang salah. Suatu masa nanti apabila kita menjadi pemimpin, Allah akan balas balik kepada kita di mana pengikut kita pula anggap kita pula bodoh. Masing-masing ada tanggungjawab yang telah diatur oleh perlembagaan parti. Pemimpin membuat cadangan, perancangan dan mengatur gerak kerja yang difikirkan sesuai dan munasabah untuk mencapai matlamat. Hal ini akan berubah dari semasa ke semasa menurut ijtihad kepimpinan.

Dasar sahaja tidak berubah, iaitu Islam. Tetapi bagaimana cara kita mahu melaksanakan gerak kerja kita sentiasa berubah. Perubahan kadang-kadang besar, kadang - kadang kecil, contohnya Tahaluf Siasi. Mereka yang tidak belajar Feqah Politik, mengatakan Pas sudah menyelewing. Pada hal keputusan yang kita buat masih lagi berkisar kepada nas syarak. Kepercayaan kepada kebijaksanaan kepimpinan adalah amat mustahak, khususnya di dalam dunia politik yang bergerak pantas. Jika jamaah gagal membuat keputusan yang cepat untuk menghadapi suasana kita akan ketinggalan zaman. Jika keputusan hendak dibincang dahulu daripada semua peringkat hingga ke cawangan, maka sudah tentu kita ketinggalan dan jamaah tidak maju. Pemimpin Pas tidak rela untuk diri mereka dimamah neraka kerana mengkianati perjuangan Pas dan ahli.

Menjaga Rahsia Parti.

Rahsia parti bukan sahaja kepada orang lain, malahan dengan anak isteri tidak boleh diberi tahu. Menunjukkan bukan semua perkara yang dibincang oleh parti mesti diketahui oleh orang lain. Seorang itu dianggap biadab dengan jamaah, bila mendedahkan apa yang berlaku di dalam mesyuarat. Lebih parah lagi yang disebar keluar ialah perjalanan mesyuarata untuk membuat keputusan, bukannya keputusan mesyuarat. Beliau menceritakan orang ini setuju, orang ini bangkang. Rahsia parti dan strategi parti tidak boleh dibincang di dalam forum yang terbuka seperti Face book, Twitter yang bukan ahlinya. Lebih kurang ajar lagi minta pandangan dan komen daripada mereka yang bukan ahlinya mengenai perjalanan parti. Biarlah kita menyusahkan musuh mendapat maklumat, jangan kita memberi maklumat secara percuma tanpa mereka bersusah payah. Sebenarnya di dalam keadaan kita menjaga rahsia ini pun masih terlepas, telahan pula kita sendiri yang mendedahkan. Peringatan untuk diri saya, hendak bercakap mengenai rahsia parti kena berhati-hati. Kebimbangan kita dengan alat komunikasi yang canggih akan merakam perbualan kita. Oleh itu perhatikan dengan siapa yang kita berbicara. Zaman dahulu berpandang-pandang sebelum bercakap, sekarang agak sukar kerana alat perakam di dalam telefon sudah cukup menjadi alat untuk merakam perbualan kita dan di dedahkan keluar.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar