SELAMAT DATANG
Senin, 06 April 2015
SURAT TERBUKA KEPADA UMAT ISLAM “ISU HUDUD YANG DIKELIRUKAN”
Saudara dan saudari yang dihormati,
Dengan rasa rendah diri, surat ini saya tujukan kepada semua umat Islam dengan semangat saling ingat memperingati sesama kita.
Ada dalam kalangan umat Islam yang memberi alasan bagi menolak usul persendirian berkaitan undang-undang jenayah dengan menggunakan beberapa perkataan yang berkaitan hukum Islam. Antaranya menyebut perkataan-perkataan seperti “Siyasah Syari’yyah”, “Maqasid Syari’ah”, “Fiqh Aulawiyyat”, “Maslahah” dan lain-lain.
Ketika membicarakan tajuk yang berat seperti ini, maka tentunya sangatlah tidak manis sekiranya kita menjadi laksana burung kakaktua yang pandai hanya menyebut kalimah yang diajar oleh tuannya, namun tetap berstatus binatang tanpa akal tanpa memahami hakikat atau tasawwur daripada perkataan yang diucap. Maka menjelaskan maknanya dengan ilmu yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah adalah sangat penting.
“Hudud” adalah cabutan daripada salah satu daripada hukum jenayah yang banyak dan menyeluruh. Mungkin sengaja dijadikan hujah yang difikirkan bagi menolak syari’at. Mereka menganggap Hudud paling sesuai dijadikan sasaran kerana pandangan mereka paling ganas, tanpa mengetahui secara detail dan objektif. Tanpa menyedari pula betapa ganasnya undang-undang ciptaan manusia yang masih dibanggakan, seperti hukuman bunuh secara kuno : menjerut tali ke leher secara menggantung, begitu juga hukuman sebat sehingga menyeksa tanpa kesan mendidik masyarakat.
Penjelasan ini khusus bagi penganut Islam yang jahil tanpa dimaafkan, kerana beriman tanpa ilmu dan tidak berbudiman terhadap agama sendiri, serta tanpa peduli terhadap batas-batas iman dan kufur yang wajib diketahui dan dipelihara secara fardu ‘ain.
Dr Yusuf al-Qardawi dalam kitabnya [Memudahkan kefahaman (terhadap agama ) kepada Muslim Semasa atau terkini] di halaman 102 menjelaskan :
Terdapat tiga madrasah (pandangan) apabila menghadapi masalah semasa :
1- Kalangan yang berpegang kepada nas juzi’i yang zahir secara jumud tanpa menterjemahkannya secara ijtihad melalui ilmu Siyasah Syariyyah, Usul dan Maqasid.
2- Kalangan yang menyalahggunakan Siyasah Syariyyah, Usul dan Maqasid sehingga membelakangi nas yang nyata.
3- Kalangan yang mengambil kira kedua-dua aspek yang penting dalam ilmu Islam.
Nas yang nyata adalah ilmu Allah yang difirmankan atau ucapan Rasul S.A.W. yang bersifat ma’sum. Adapun yang lain dari nas yang nyata adalah keizinan Allah bagi ruang ijtihad di kalangan para ulama bagi melaksanakan syariat Islam dengan bijak dan adil, bukannya meninggal syariat Allah dengan alasan sehingga boleh digantikan dengan undang-undang ciptaan manusia yang dianggap lebih baik.
1- Siyasah Syari’yyah
Perkataan “siyasah” daripada bahasa Arab yang bermaksud mentadbir, mengurus dan memandu atau memimpin yang disebut terkini dengan perkataan politik atau pentadbiran atau panduan. Dicampur dengan perkataan Syara’ dengan maksud kaitannya dengan urusan pelaksanaan syariat mengikut jadual, pelaksanaan, dan pengurusan melaksanakan hukum Islam, bukannya meninggalkan hukum Islam untuk diganti dengan yang lain. (Sila lihat huraian secara khsus dalam kitab-kitab Ahkam Sultaniyyah Karangan al-Mawardi dan Ghiath karangan Imam Haramain daripada Mazhab Syafei; al-Sair al-Kabir daripada mazhab Hanafi;Siyasah Syariyyah Ibnu Taimiyyah dan Turuq HukmiyyahIbnu Qayyim daripada mazhab Hambali dan MuqaddimahIbnu Khaldun daripada mazahab Maliki).
Tegasnya ialah melaksanakan Syariat dengan betul, bukannya meninggalkan Syariat Allah dengan gantian hukum yang lain.
2- Maqasid Syari’ah
“Maqasid” bermakna tujuan-tujuan, maksudnya ialah tujuan pelaksanaan syariat. Objektifnya ialah cara mencapai matlamat membawa maslahat kebaikan kepada manusia secara umum dan khusus secara adil dan istiqamah dan menolak kemudaratan. Di sini pula ada tujuan yang telah ditetapkan oleh syara’ dan ada juga yang tidak disebut di mana Allah memberi keizinan mengikut kemampuan akal dan ilmu manusia.
(Kepada yang mampu berbahasa Arab sila rujuk kepada dua tokoh ilmu Maqasi : Al Syatibi : Al Muwafaqat : J:2, muka surat 391. Ibnu ‘Asyur : muka surat 19)
Contohnya, apabila khalifah Umar R.A. tidak memotong tangan pencuri di tahun melesetnya ekonomi kerana berlakunya kemarau panjang, dan bukannya kerana meninggalkan hudud, tetapi disebabkan melihat keadaan desakan hidup apabila dibayar gaji yang tidak mencukupi, menjadikan seseorang itu melakukan jenayah secara terdesak. Maka kerana itu hukuman potong tangan adalah haram dilaksanakan, kerana Hadis Rasulullah S.A.W. : “Hukuman Hudud ditolak (kerana adanya syubuhat”.
Ditolak hukuman hudud ini pula bukan bermakna terlepas begitu sahaja. Tetapi hendaklah dipindahkan kepada hukuman takzir yang termasuk dalam ruang Syariat Islam. Hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan kerana tidak memenuhi syarat yang mencapai adil dan mendidik masyarakat mengikut kemampuan. Mudarat daripada kemelesetan ekonomi yang menimpa penjenayah adalah lebih besar. Sebaliknya kalau pencuri itu seorang berpendapatan tinggi sudah tentu dihukumkan.
Maqasid Syari’ah tidak bermakna membatalkan penguatkusaan undang-undang Hudud. Maqasid Syari’ah dalam hal ini bermakna hukuman tidak boleh dijatuhkan kerana menafikan tindakan secara adil yang menjadi matlamat syariat. Kalau dijatuhkan hukuman juga, bermakna kita tidak melaksanakan syariat kerana tidak mencapai matlamatnya. Meninggalkan syariat secara total menghilangkan segala maqasidnya.
Contohnya juga ialah mengenai kalimah Allah dibenarkan penggunaannya pada asalnya oleh penganut bukan Islam walau pun salah mengikut penafsiran kita, tetapi apabila tujuan penggunaannya bagi mengelirukan penganut Islam yang jahil, maka pihak berkuasa berkenaan agama Islam berhak menghalangnya . Mengikut Qaedah(Semua perkara dilihat juga kepada tujuannya).
3- Fiqh Aulawiyyat
Bermaksud melihat keutamaan secara fiqh (faham mengikut panduan Syariat).
Contohnya Islam meletakkan perkara keperluan rukun hidup bagi manusia ialah memelihara (1) Aqidah agama, (2) Nyawa, (3) Akal, (4) Keturunan dan (5) Harta.
Contohnya tidak dijatuhkan hukuman hudud terhadap pencuri kerana lapar adalah kerana keutamaan memelihara nyawa hendaklah didahulukan daripada memelihara harta. Hukuman hudud ditangguh dalam keadaan perang kerana menghalang penjenayah melarikan diri kepada musuh, kerana keselamatan negara diutamakan. Bukan bermakna penjenayah dibebaskan, tetapi diturunkan kepada hukuman takzir.
Orang bukan Islam dikecualikan dahulu kerana berdakwah dalam konsep tiada paksaan dalam agama adalah lebih aulawiyyat.
Contohnya juga seperti pengambilan tanah untuk mendirikan hospital atau jalan raya adalah diizinkan kerana kepentingan umum hendaklah didahulukan daripada kepentingan individu atau segelintir, dan hendaklah diganti tanah itu secara yang adil pula.
“Aulawiyyat” itu pula hendaklah dalam ruang lingkup hukum syariat terlebih dahulu, bukannya bermakna meninggalkan hukum syariat.
Apabila segala syarat tidak ada bagi hukum Hudud dan Qisas maka hendaklah dipilih dalam ruang hukum takzir yang sangat luas.
Bukannya melarikan diri kepada hukum ciptaan Barat yang banyak kelemahannya. Perlu disedari bahawa di sana ada juga tidak yang sama dengan undang – undang yang sedia ada, perbezaannya tidak ada roh seperti syariat Islam.
(Sila lihat Dr Yusuf Al Qardhawi dalam Siyasah Syariayyahhalaman 284-297)
4- Maslahah
“Maslahah” dengan maksud tujuan membawa kebaikan. Sama ada mendapat faedah atau menolak kemudaratan.
Para ulama membahagikan maslahat itu kepada tiga kedudukan :
1- Maslahah Mu’atabarah
Ialah dalam perkara yang telah ditetap oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Rahmat terhadap makhluknya. Maka ada yang diwajibkan dan ada pula yang diharamkan. Maka percayalah bahawa semua yang diwajibkan tetap membawa kebaikan dunia dan akhirat. Perkara yang diharamkan tetap mendatang mudarat kepada diri atau masyarakat. Contohnya ialah seperti wajibnya berpuasa kepada yang mampu dan haramnya arak dan judi. Ianya adalah ketetapan Allah SWT.
2- Maslahah Mulghah
Dalam perkara yang diharamkan kerana mudaratnya lebih besar atau manfaatnya tidak ada .Contohnya seorang yang mencuri atau merompak atau mengedar dadah dengan maslahat mengumpul duit untuk kebajikan atau nafkah keluarga. Maslahat ini dibatalkan kerana mudaratnya sangat besar sehingga menimbus segala kebaikannya.
3- Maslahah mursalah atau Masoleh mursalah
Dalam perkara yang didiamkan oleh al-Quran dan Hadis maka ruangnya adalah terlalu luas kepada manusia di sepanjang zaman.
Melaksanakan Syariat adalah maslahah yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Penyayang kepada makhluknya.
Isu Enakmen Kanun Jenayah Syariat (KJS) Negeri Kelantan
Isu undang-undang jenayah Syariat menjadi hangat sejak kedatangan penjajah apabila mereka menghapuskannya. Seterusnya menjadi hangat di kalangan umat Islam sendiri kerana kejahilan agama dan pendekatan, sehingga berlakunya isu kafir mengafir dalam masyarakat sendiri kerana kejahilan hukum dan kejahilan cara pendekatan berdakwah.
Apabila keadaan dapat diredakan, maka PAS mengambil langkah ke depan melalui kemenangannya di Kelantan, kemudiannya di Terengganu secara ilmu dan demokratik.
Langkah pertama ialah menubuhkan pasukan daripada Parti dan kerajaan. Pasukan ini melibatkan Ketua Dewan Ulama dan kalangan ahli majlis Syura Ulama, Tun Saleh Abas (Mantan Ketua Hakim Negara), al-Marhum Prof Ahmad Ibrahim salah seorang pengasas UIA (mantan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat tahun lima puluhan daripada Singapura dan mantan Peguam Negara Singapura yang pertama), al-Marhum Dr Mahmud Saedon Awang Osman dari UIA dan Pakar Syariah Negara Brunei Darussalam, al-marhum Datuk Abdul Halim Muhammad mantan Penasihat undang-undang negeri Kelantan dan Exco kerajaan negeri, dan Datuk Daud Mohamad Kadi Besar negeri Kelantan.
Sebelum enakmen ini dibawa kepada DUN Negeri Kelantan, ianya terlebih dahulu dibentangkan kepada umum di berbagai forum – seminar dan dialog. Akhirnya enakmen berkenaan dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993 dan DUN Terengganu pada tahun 2000. Manakala Kelantan pula memperkukuhkannya secara mengadakan seminar dan sambutan mengenainya secara tahunan.
Kini setelah lebih dari 20 tahun (dua puluh tahun) PAS memperkenalkan enakmen ini, disamping melaksanakan proses pendidikan mengenai KJS dalam masyarakat, dialog dan sebagainya, maka PAS ingin bergerak setapak lagi dalam proses mendidik masyarakat untuk mengenali hukum-hakam syariat Islam yang menyeluruh. Hasilnya kini suara yang mengeji hukum Islam ini semakin hari menjadi terpencil.
Maka dengan sedikit ruang yang ada ini, Enakmen KJS ini mengalami beberapa pindaan- pindaan memperkemaskannya dengan mengambil kira cabaran dalam perlembagaan dan masyarakat majmuk, tanpa paksaan, dan bagi orang Islam sahaja setelah mengambil kira pandangan para ulama daripada semua mazhab dan sejarah pelaksanaan yang berjaya di sepanjang zaman.
Dalam masa yang sama, apa yang ingin dicadang dan akan dibawa oleh PAS menerusi Private Members Billnanti pula bukanlah rang undang-undang hudud, tetapi pindaan dalam akta Mahkamah Syariah untuk membuka sedikit ruang bagi membolehkan satu-dua aspek syariah itu dilaksanakan terhadap penganut Islam sahaja.
Kita adalah makhluk yang berilmu, bertamadun dan matang. Maka dengarlah dahulu apa yang ingin dikemukakan. Jangan terus melompat dan bertempik gegak gempita memberikan kritikan tanpa mengetahui hujung pangkalnya.
Firman Allah:
(Dan hendaklah kamu melaksanakan kalangan mereka hukum yang telah diturunkan oleh Allah,dan jangan sekali-kali engkau mengikut hawa nafasu mereka (meninggalkan hukum Allah) sehingga engkau meninggalkan sebahagian daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Maka jika sekiranya mereka berpaling(enggan)maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah hendak mengenakan mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya sebahagian daripada maknusia itu adalah orang-orang yang jahat). Adakah mereka mahukan hukum jahiliyyah, padahal siapakan lagi yang paling baik hukumnya daripada Allah kepada orang-orang yang percaya dengan yakin).
Semoga semua kita mendapat manafaatnya dan mencapai keredhaan Allah SWT.
Saudaramu dalam Islam,
TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS
26 MAC 2015
26 MAC 2015
PEMENANG PERTANDINGAN MEWARNA ANJURAN KELANTAN BIOTECH CORPORATION SDN BHD PADA 19/3/2015
Pemenang Tempat Pertama Di Terima Oleh Pelajar PASTI Kaabah, Kg Kaabah
Pemenang Tempat Kedua Di Terima Oleh Pelajar PASTI As Syakirin, Kg Pek
Pemenang Tempat Ketiga Di Terima Oleh Pelajar PASTI Darul Husaini, Kg Kepas
AL KISAH SEBIJI BURGER
Malam itu, Kak Fidah bertengkar dengan emaknya lalu melarikan diri dari rumah. Semasa dalam perjalanan, Kak Fidah teringat bahawa dompetnya tertinggal dan dia tiada sebarang duit bersamanya.
Tiada syiling pun untuk menelefon rumah bagi meminta pertolongan.
Pada masa yang sama, perutnya berbunyi kelaparan. Kak Fidah tiba di satu gerai burger Ramli, yang baunya mengancam, kelaparannya bertambah.
Kak Fidah harapkan dapat satu burger ayam, tapi dia tiada duit.
Penjual burger yang sedar dengan kehadiran Kak Fidah melihat dia sedang mengigil ketakutan lalu bertanyaà
“Adik dah makan belum? Kalau nak, ambil burger ayam ini untuk makan dulu,” kata penjual burger itu.
“Tapi saya tiada duit pakcik,” kata Kak Fidah dengan sipu-sipu.
“Tak apa, pakcik belanja. Mai, duduk sini makan,” kata penjual burger itu sambil membuat satu Milo panas untuk Kak Fidah.
Beberapa minit kemudian, Kak Fidah mengalirkan air mata...”Mengapa sayang?” tanya penjual burger.
“Tiada apa. Cuma terharu dengan hati baik pakcik,” kata Kak Fidah sambil mengelapkan air matanya.
“Orang asing macam pakcik boleh bagi burger kepada Fidah, tapi mak saya, lepas bertengkar dengan saya, dia halau saya keluar rumah. Kejam betul mak saya!” tambah Kak Fidah lagi.
Mendengar kata-kata Kak Fidah, penjual burger mengeluh.
“Adik, mengapa adik fikir begitu? Renungkan semula. Pakcik hanya beri adik satu burger, adik dah rasa terharu dan terhutang. Ibu adik membesarkan adik sejak kecil, mengapa adik tak pula rasa syukur malah bertengkar dengan ibu adik?” kata penjual burger itu.
Kak Fidah amat terkejut dengan jawapan itu, dan selepas berterima kasih dengan pakcik burger, dia terus berjalan menuju ke rumahnya.
Dalam perjalanan Kak Fidah asyik terfikir...
“Mengapa selama ini saya tidak terfikir perkara itu? Satu burger daripada seorang yang asing boleh membuat saya rasa terhutang, tapi mak saya yang membesarkan saya sejak kecil dan saya tidak berasa sedemikian, walaupun sikit.”
Kak Fidah memikirkan apa yang perlu dikatakan kepada emaknya apabila dia tiba di rumah.. “Maafkan saya mak. Semua salah Fidahà maafkan saya mak.”
Sejurus tiba di rumah, Kak Fidah melihat wajah maknya yang penuh kebimbangan bertukar menjadi lega melihat kepulangannya setelah puas mencari.
“Fidah masuk. Mungkin dah lapar. Mak dah masak, jom makan,” kata maknya.
Fidah terus menangis sambil menyembamkan muka di tangan maknya.
Wahai anakku,
Di dalam kehidupan ini, engkau lebih mudah menghargai perkara-perkara kecil yang dilakukan sahabat-sahabat sekeliling kamu, tapi untuk ahli keluarga terdekat kamu, kamu sering merasakan apa yang dikorbankan mereka adalah normal dan patut dilakukan tanpa sebarang penghargaan.
Kasih sayang dan keprihatinan keluarga terdekat kepada kamu adalah perkara paling berharga kurniaan Allah untuk kamu sejak dilahirkan, terutamanya kasih sayang daripada kedua-dua orang tuamu. Orang tuamu tidak pernah mengharap kamu membayar kembali kos membesarkan kamu...tapi pernahkah kamu mengerti untuk menghargai dan bersyukur dengan pengorbanan tanpa syarat kedua-dua orang tuamu?
Langganan:
Postingan (Atom)