Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
"Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam." (al-Anbiya’: 107)
Rasulullah S.A.W diutuskan oleh Allah S.W.T untuk menyempurnakan seluruh ajaran dan syariat Islam dengan membimbing dan memimpin seluruh umat manusia untuk mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia hingga akhirat.
Bersama Baginda adalah kaum yang Allah namakan sebagai Muslim, menjadi umat wasatiyah dan terbaik di kalangan manusia, menunjukkan teladan mengharmoni dan mensejahterakan kehidupan di muka bumi.
Hakikatnya, dunia akhir zaman ini tersangat berhajat kepada umat Islam yang akan mengembalikan secara teguh seluruh seruan dan akhlak Rasulullah S.A.W untuk menyelamatkan dunia yang sedang dihimpit oleh pelbagai kezaliman dan kerosakan akibat perbuatan manusia yang jauh dari hidayah Allah.
Jelas hari ini rintihan manusia dihina, diperdagang, didera, disiksa hingga dibunuh oleh mereka yang memperhambakan. Dirampas segala hak hasil usaha, harta, kediaman, perekonomian dan tanah air oleh penjajah dengan pelbagai wajah yang sangat rakus.
Juga segala amanah diwarnai kecurangan, penyelewengan, rasuah, skandal dan salah guna kuasa oleh pemimpin yang seumpama serigala. Selain pelbagai penyimpangan agama yang menyesat dan membingungkan dari tujuan ubudiyah.
Hingga membekaskan kepada dunia hari ini dengan bayangan hitam jenayah, ketakutan, penderitaan dan bida'ah yang tiada kesudahan, pembelaan serta penjernihan.
Maka, didatangkan Islam yang pernah ditegakkan Baginda Rasulullah S.A.W sebagai penyelesaian terhadap segala kebejatan ini. Menukarkan air mata derita kepada kegembiraan, kemungkinan kepada jaminan, serta sengsara kepada bahagia di dunia dan akhirat.
Justeru, umat Islam mestilah bersatu padu terlebih dahulu dengan berpegang kepada sunnah Rasulullah dan menggenggam erat syariat Allah. Seterusnya bangkit sebagai umat yang akan menebarkan rahmat ke seluruh alam ini.
"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka." (an-Nur: 55)
Inilah salawat akbar umat ini ke atas Baginda, yang tidak hanya diterima hadirnya dengan keraian berhimpun bercerita riwayat mengenang semata-mata. Tetapi menegakkan seluruh usaha Baginda ke atas umat manusia secara istiqamah hingga tertegaknya keadilan melalui syariat Allah S.W.T.
"Inilah Penyelesaian Kita"
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
11 Rabiul Awwal 1438H | 11 Disember 2016 - HARAKAHDAILY 11/12/2016
Tidak ada komentar:
Posting Komentar