Tunaikan enam hak saudaramu.
عن ابي هريرة رضي الله عنه قال ، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم حق المسلم على المسلم ست
اذا لقيته فسلم عليه واذا دعاك فاجبه واذا استنصحك فانصح له واذا عطش فحمد الله فشمته واذا مرض فعده واذا مات فاتبعه. رواه مسلم
Hak seorang Muslim atas Muslim yang lain ada enam perkara:
1. Iaitu apabila engkau menemuinya, hendaklah engkau memberi salam kepadanya.
2. Apabila ia menjemput, hendaklah menghadirinya.
3. Apabila ia meminta nasihat, maka berilah nasihat kepadanya.
4. Apabila ia bersin dan memuji Allah, hendaklah menjawab 'yarhamukalLah'.
5. Apabila ia sakit, hendaklah menziarahinya; dan
6. Apabila ia mati, hendaklah iringi jenazahnya.
Hadis riwayat Muslim.
Wahai anakku,
Walaupun Rasulullah menyebutnya enam perkara, namun bila kamu hayatinya, ia membawa makna yang sangat besar. Iaitu hak kamu pada saudara se-Islammu dari mula bertemu sehinggalah ia mati. Alangkah indahnya bila kamu hayatinya dan laksanakan hak saudaramu itu, nescaya kamu akan merasai nikmat ukuhwah dalam agama.
Memberi salam bermakna kamu mendoakan keselamatan dan kesejahteraannya dunia dan akhirat. Bila kamu mendoakannya (memberi salam , ia pula akan mendoakan kamu (menjawab salam). Inilah kasih sayang apabila kamu doakan kebaikannya, kebahagiaannya dan kesejahteraan untuknya di dunia hingga ke alam akhirat, alangkah besarnya makna salam dan doa kamu buatnya. As-Salam adalah nama Allah yang kamu sandarkan kepadaNya agar Allah yang sifatnya As-Salam mengurniakan keselamatan buatnya.
Wahai anakku,
Apabila ia menjemputmu, hendaklah engkau menghdirinya. Jemputan adalah penghargaan, penghormatan dan harapan. Alangkah bahagianya bila kamu dapat menyempurnakan harapannya. Tunaikanlah jemputannya, kerana di waktu itu ia sangat mengharapkan kehadiranmu. Kunjunganmu ke rumahnya mengundang rahmat buatnya dan menghapuskan dosa-dosamu. Ziarahilah ia agar ia nanti akan menziarahimu. Kerana rumah yang tidak dikunjungi tetamu akan berkuranganlah keberkatan dan rezekinya.
Bila ia meminta nasihat, wahai anakku, maka nasihatilah dia. Ini bukanlah engkau lebih baik darinya, tetapi ia memerlukan bimbingan, tunjuk ajar, doa dan harapan. Berilah nasihat dengan penuh keikhlasanmu kerana ia lama akan diingati. Meminta nasihat bermakna ia thiqah dan percaya padamu, yakin akan kebaikan pandanganmu dan yang penting ia memerlukan seseorang mendengar masalahnya dan memberi cadangan kepadanya. Maka nasihatilah ia dengan panduan kitabulLah, sunnah RasululLah S.A.W, serta pandangan para ulamak yang muktabar.
Wahai anakku,
Bilamana ia bersin, lalu memuji Allah sebagaimana yang diperintah oleh Rasulullah, maka engkau jawab dengan mendoakan kepadanya YarhamukumulLah, (semoga Allah merahmatimu), alangkah hebatnya ukuhwah, bilamana sahabat bersin lalu memuji Allah kerana di saat ia bersin, segala sarafnya terhenti seketika, lalu Allah mengembalikan semula dan setengah pandangan para ulamak melapangkan baginya sistem pernafasannya dan seribu nikmat yang tersembunyi di sebalik bersin, sehingga Allah menyuruhnya mengucap Alhamdulillah (kesyukuran), maka yang mendengar pula diminta berdoa semoga Allah merahmatinya dan merahmatinya.
Wahai anakku,
Bilamana saudaramu sakit, maka ziarahilah ia kerana ia akan gembira dengan kehadiranmu dan kamu mendoakan agar Allah menyembuhkannya. Di saat sakit, kehadiran sahabat amat dirasai, begitu jua doamu sewaktu menzirahinya. Lantaran itu, berilah harapan kepada saudaramu yang sakit, bahawa Allah akan menyembuhkannya dan dengan kesabarannya akan menghapuskan dosa-dosanya. Allah tidak akan sia- siakan apa jua yang menimpa hambaNya.
Bilamana saudaramu meninggal dunia, wahai anak kesayanganku, Rasulullah menyuruh agar mengiringi jenazahnya ke kubur. Inilah kemuncak persaudaraanmu di dunia ini. Maka iringilah perpisahanmu dengan doa agar Allah mengampuninya dan merahmatinya. Mengiringi jenazah ke kubur dapat menguatkan jiwa dan semangat bagi keluarganya, menambah ketabahan mereka dan mengundang pelbagai kebaikan buatmu.
Wahai anakku,
Ambillah dan ingatlah hadis ini, usahalah agar kamu dapat menunaikan tanggungjawabmu kepada saudaramu, agar ia juga menunaikan haknya kepadamu. Doalah buat saudaramu dan kenalanmu tanpa pengetahuannya, engkau akan merasai nikmat ukuhwah yang sangat indah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar