Wahai
anakku,
Sebelum menegur, tanyalah diri apakah niat
menegur engkau. Jika niatnya adalah untuk menjaga ego sendiri, batalkan niat
menegur tersebut. Jika niatmu adalah untuk menghukum pihak yang tidak bersetuju
dengan kamu, batalkanlah niat menegur itu. Jika niatmu adalah untuk memalukan
orang, lagilah perlu dibatalkan niat kamu. Jikalau niatmu adalah untuk
menunjukkan sendiri lebih pandai, batalkan niatmu.
Jikalau niatmu untuk merendahkan pihak lawan, batalkanlah juga niatmu. Jikalau
niatmu untuk lawan, untuk menunjukkan kebodohan, batalkan niatmu. Jikalau
engkau tidak pasti kebenaran dalam teguran yang engkau niatkan itu, tangguhkan
dulu teguran kamu.
Wahai anakku,
Bukan tidak boleh membuat teguran. Tapi buatlah
teguran yang bersifat membina. Buatlah teguran yang bersifat mendidik dan
menginsafkan. Buatlah teguran yang memberi harapan. Buatlah teguran selepas
mendapat kebenaran dan perspektif yang betul. Sesungguhnya buatlah teguran demi
tanggungjawabmu kepada Allah dan bukannya kerana manusia dan maruahmu.
Wahai anakku,
Jagalah maruah pihak yang hendak ditegur. Tegurlah
pada isu yang ada di tangan. Jangan sesekali engkau cuba membangkitkan perkara
yang lepas-lepas kerana ia akan merosakkan teguran yang diniatkan baik oleh
engkau.
Wahai anakku,
Semasa membuat teguran, ingatlah manusia ini
tidaklah sempurna walaupun sempurna ciptaan Allah. Ingatlah manusia depanmu itu
pernah juga berbuat baik dan berkata-kata yang baik. Buatlah teguran tanpa
buruk sangka pada manusia di depanmu. Buangkan segala buruk sangka pada manusia
di depanmu. Tunjukkan belas kasihan-mu. Tunjukkan sifat penyayangmu. Tutupilah
egomu. Dan jagalah kata-katamu dan ayat-ayatmu.
Wahai anakku,
Jangan pula engkau ingat hanya kau yang layak
menegur orang dan orang yang ditegurmu itu mesti akur dan terima teguranmu. Jangan
engkau ingat mereka akan membisu menerima segala teguran kamu tanpa dijawab.
Jangan engkau ingat engkau sahaja betul dalam teguranmu. Bersedialah berlawan
dengan hujah. Jika engkau kasar dalam bahasa teguranmu, bersedialah menerima
balik kekasaran yang serupa atau lebih buruk.
Wahai anakku,
Menegur itu mudah. Menerima teguran itu payah.
Engkau memahami perkara itu di dalam jiwa tapi akibat bisikan syaitan dan egomu
kamu sering terlupa yang menerima teguranmu itu juga seorang manusia ciptaan
Allah.
Bisikan syaitan menyebabkanmu merasakan diri lebih
tinggi ketika menegur. Egomu menyebabkan kamu terasa diserang tanpa sebab
ketika ditegur sebelum menilai teguran yang diterima samada benar mahupun
palsu.
Wahai anakku,
Beradablah ketika menegur. Dan bersabarlah ketika
ditegur kerana engkau akan saling memainkan watak ini dalam hidup kamu.
Pentingkan membimbing dan memberi harapan daripada mencari salah dan menghukum
dalam teguranmu. Dan pentingkan kebenaran dan nilai bersyukur ketika ditegur
kerana ada yang sanggup memberi pandangan untuk membaiki diri.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar