Seorang
pelari marathon berasa sungguh bersemangat.
Setelah berlatih insentif beberapa bulan, akhirnya
tiba hari kejohanan marathon yang pertamanya di Jambatan Pulau Pinang yang
baru.
“Pang” – Marathon bermula. Pelari muda itu
memulakan langkah dengan penuh keyakinan. Setiap langkahnya berirama dengan
penuh bersemangat.
Setelah tiga kilometer, pelari muda itu mula
berasa letih dan terasa ingin berhenti.
“Jangan henti. Kalau tak boleh lari, cuba jogging,”
kata satu suara di minda pelari muda itu.
Pelari muda itu meneruskan lariannya untuk dua
kilometer lagi. Sekali lagi, kakinya terasa amat berat untuk bertahan dan dia
terasa ingin berhenti.
“Jangan henti. Kalau tak boleh lari, cuba jalan,”
kata suara yang sama.
Pelari itu meneruskan lariannya, meskipun jauh
lebih lambat dan peserta lain mula memotongnya, pelari terus menuju ke arah
garisan penamat.
Tidak lama selepas itu, kaki pelari mulai terasa
ada kekejangan dan sakit. Kali ini, dia terasa betul-betul ingin berputus asa.
“Jangan henti. Kalau tak boleh lari, cuba lompat
satu kaki,” bisik suara itu lagi.
Pelari itu meneruskan perjalanan dalam keadaan
terincut-incut ke arah garisan penamat.
Kaki pelari semakin sakit, garisan penamat dalam
lingkungan 200 meter sahaja. Keinginan untuk berhenti sukar dihalang tatkala
kaki semakin sakit.
“Jangan henti. Kalau terpaksa merangkak,” kata
suara itu.
“Itu dah melampau. Malulah kalau merangkak di depan
orang ramai ini,” bisik hati pelari muda itu.
“Kalau tak boleh lari, tak boleh jogging, tak boleh
jalan, tak boleh lompat, tak boleh incut… tapi masih mahu tiba di garisan
penamat, buatlah apa sahaja yang patut untuk sampai ke garisan penamat,” bisik
suara itu lagi.
Dengan melupakan rasa malu, pemuda itu mula turun
dengan tangannya dan merangkak ke garisan penamat.
Sejurus melepasi garisan penamat, pelari muda
berbaring di atas jalan sehinggalah ada petugas datang membantunya.
“Kamu ok?” tanya petugas itu.
“YA. Saya sangat gembira kerana saya berjaya
menghabiskan marathon ini. Sungguh gembira,” kata pelari muda itu sambil bangun
melompat meraih kejayaannya.
“Aduh sakit…,” pelari terlupa bahawa kakinya masih
sakit. Tapi tak apa, ia berbaloi dan cukup manis pengalaman ini baginya.
Wahai anakku,
Kadang-kala kamu akan hilang semangat, hilang
keyakinan dan hilang tenaga untuk meneruskan matlamat mencapai hasratmu kerana
pelbagai perkara. Tapi, jika kamu tetap meneruskan perjalanan, insha-Allah kamu
akan terkejut dengan pengalaman yang kamu akan dapat.
Aku tidak tahu apa masalah yang kamu sedang hadapi
tatkala ini. Walau apa jua, aku berharap kamu bertahan, wahai anak
kesayanganku, kerana setiap hari yang kamu berusaha kamu menghampiri
matlamatmu.
Biarpun kamu terpaksa merangkak untuk melepasi
garisan penamat tapi jangan kamu menyesal seumur hidup kerana berputus asa di
tengah jalan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar