SELAMAT DATANG

Rabu, 14 Januari 2015

PASCA BANJIR : YAB MENTERI BESAR KELANTAN DAN KEMURAHAN HATI KEPADA RAKYAT

Setiap detik berlalu, YAB Ustaz Dato' Haji Ahmad Yakob sentiasa memikirkan tentang keadaan rakyatnya yang berada dalam kesusahan dilanda banjir besar tempohari. Selepas banjir beliau hanya berkesempatan ke Kuala Lumpur pada 4 Januari 2015 bagi membincangkan pemulihan semula rumah-rumah musnah dan pada 11, 12 Januari 2015 kerana menghadiri mesyuarat bulanan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat kemudian Majlis Syura dan keesokannya bersama duta Qatar bagi membincangkan bantuan mangsa banjir Kelantan. Beliau kemudian bergegas balik ke Kota Bharu kerana katanya " rakyat susah, tak boleh tinggal lama".
Rutinnya setiap hari, turun ke lokasi-lokasi dilanda banjir bagi menyampaikan bantuan, meninjau tapak tanah sesuai untuk bina rumah kekal kepada mangsa banjir yang kehilangan rumah dan turut membersih serta membuang sampah bersama rakyat walaupun kadang-kadang beliau juga kurang sihat dan tidak cukup masa untuk rehat. Setiap hari jadualnya terlalu padat sama ada di pejabat mahupun luar pejabat. Apabila berada di pejabat beliau sering berkata " jika dah tiada orang yang nak berjumpa, ana nak keluar tinjau permasalahan rakyat diluar pula" dan apabila berada di luar seringkali beliau bertanya " apa lagi kerja utama yang tidak selesai di pejabat dan ada temujanji dengan siapa lagi ?".
Begitulah kerisauan beliau dalam memikul amanah sebagai Menteri Besar. Pernah satu ketika sejurus solat asar, beliau bertanya saya "Agaknya dengan keadaan ana sekarang yang masih tidak sempat turun di semua rumah-rumah rakyat dalam Negeri ini, boleh lepaskah ana di akhirat nanti?" Saya agak kelu untuk menjawabnya hanya sempat mengucapkan "insya-Allah" dan pada ketika itu beliau baharu sahaja genap setahun pentadbirannya sebagai Menteri Besar Kelantan.
Pasca banjir, beliau telah banyak mengumumkan kemudahan-kemudahan kepada rakyat. Hari ini, beliau sekali lagi mengumumkan di atas kemurahan hati bahawa Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan seluruh saff Exco Kerajaan Negeri untuk tidak mengambil sebulan gaji bagi dimasukkan ke dalam Tabung Amanah Bencana Banjir Negeri Kelantan. Beliau juga turut menggesa seluruh Adun, Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara serta Speaker Kerajaan Negeri agar menyumbang sebulan elaun kepada tabung tersebut. Itulah keprihatinan dan kemurahan hati seorang Menteri Besar yang mengutamakan kesusahan rakyat.
MOHD ASRI BIN MAT DAUD
Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 23 Rabiul Awwal 1436/ 14 Januari 2015


Tidak ada komentar:

Posting Komentar