SELAMAT DATANG

Rabu, 03 Desember 2014

AL KISAH BUAH TEMBIKAI


Harith pulang ke rumah awal selepas kerja. Cuaca sungguh panas. Memandangkan isterinya belum pulang, Harith bergegas ke peti sejuk.

Bagus. Ada separuh tembikai yang tidak dimakan lagi. Tanpa berlengah, Harith mengambil sudu dan terus menikmati tembikai tersebut sehingga habis.

Sejam kemudian, isteri Harith, Ayu pulang ke rumah. Kehausan, Ayu teringat separuh tembikai yang dibelinya semalam di peti sejuk.

Apabila membuka peti sejuk, Ayu kecewa melihat tembikainya hilang. Harith yang bersebelahan berkata, “Ayang sedang cari tembikai ke. Sore, abang dah habis makan.”

Ayu geram tidak berkata apa-apa. Ayu yang kehausan cuba menuang air daripada bekas air yang disimpan atas meja. Tiada air yang keluar.

“Tadi minum habis, lupa isi balik,” jawab Harith.

Ayu terus tidak menahan geram lalu meninggikan suara: “Abang ini kat rumah tak tahu isi air ke apabila tahu bekas air ini dah habis? Tembikai ayang beli, abang makan semua langsung tak tinggal.”

Perang dingin ini berlarutan seminggu. Melihat keadaan begitu, ibu Harith yang berumur 60 tahun menjemput kedua-dua Harith dan Ayu secara berasingan untuk makan malam bersama di rumahnya.

Pada hari itu, Harith tiba di rumah ibunya terlebih dahulu. Ibunya memberikan separuh tembikai untuk Harith.

“Makan ini dulu. Tinggal separuh untuk Ayu nanti di peti sejuk,” pesan ibu Harith. Selepas menikmati tembikai itu, ibu menyuruh Harith berehat di bilik atas rumahnya sambil menunggu waktu Maghrib.

Kemudian, Ayu pun tiba. Ibu Harith memberikan Ayu separuh tembikai yang satu lagi kepada Ayu.

“Ayu makan ini dulu. Tinggal separuh untuk Harith nanti di peti sejuk,” pesan ibu Harith.

Selepas solat Maghrib, Harith pun turun dari bilik atas. Ibunya meletakkan dua tembikai separuh yang telah dinikmati Ayu dan Harith di atas meja makan.

“Mari kamu berdua,” kata ibu Harith.

Terlihat separuh tembikai di kiri hanya tertinggal ruang tengah yang tidak disentuh lagi. Ayu menikmati separuh tembikai tadi dari tepi, dan meninggalkan bahagian tengah kepada Harith.

Separuh tembikai di kanan pula ada lubang besar di tengah. Harith menikmati separuh tembikai dari tengah, dan meninggalkan isi tepi untuk Ayu.

“Bahagian tengah tembikai ialah bahagian paling manis. Ayu meninggalkan kamu bahagian yang paling manis, dan Harith kamu pula makan yang paling sedap dan tinggal bahagian kurang sedap untuk Ayu.

Sekarang kamu faham mengapa Ayu merajuk? Ini kerana Ayu lebih menyayangi kamu daripada dirinya sendiri. Kalau dia terlihat ada separuh tembikai, tanpa siapa-siapa pesan, dia akan tinggalkan separuh yang terbaik untuk kamu. Harith, kalau kamu, tembikai itu kamu dah makan habis tanpa terfikir Ayu,” tegur ibu Harith pada anaknya.

Harith yang sedar kesilapannya terus mengangkat semangkuk sup untuk isterinya.

“Ayang minum dulu,” kata Harith, dan menyebabkan Ayu menitis air mata bahagia.

Wahai anakku,
Bukan mudah untuk mendirikan dan menjaga keutuhan sesebuah rumahtangga. Jagalah tingkahlaku kamu, jagalah mulutmu, jagalah egomu dan jagalah orang tersayangmu supaya orang yang kamu sayang dapat merasai kebahagiaan. Tiada makna sayang jika orang kamu sayang merasa dirinya di dalam derita.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar