SELAMAT DATANG

Senin, 18 Juli 2016

KHAIRUL IDHAM PAWI: "RAJA LITAR BASAH" DUNIA

"Membanggakan!".

Itulah perkataan yang dapat digambarkan kepada Khairul Idham Pawi yang digelar dunia pada ketika ini sebagai "Raja Litar Basah" selepas menjuarai GP Moto3 Dunia Jerman di litar Sachsenring pada hari ini.

Bermula dengan kedudukan ke-20, Khairul dengan begitu yakin terus mengejar pelumba di hadapan sehingga ke kedudukan ke-7 sebelum terus mengungguli kedudukan teratas semasa perlumbaan yang berlangsung dalam hujan dan litar yang begitu basah.

Kebolehan Khairul Idham mengawal jenteranya dalam keadaan litar basah ini jelas membuahkan kejayaan yang begitu bermakna buat negara.

DPPM begitu berbangga dengan kejayaan kali kedua anak muda ini yang begitu hebat di peringkat antarabangsa, setelah menjuarai GP Argentina awal tahun ini.

Kejayaan produk didikan PASTI yang telah dianugerahkan sebagai Tokoh Anak Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) sempena Muktamar Kali Ke-57 2016 ini jelas menunjukkan kebolehan anak muda Malaysia di persada dunia serta diiringi dengan komitmen dan akhlak yang begitu cemerlang samada di dalam atau di luar perlumbaan.

Terbukti, buat kali kedua beliau dengan sopan melarikan diri dari semburan arak Champagne daripada 2 orang pelumba lagi yang meraikan kejayaan di podium, tanda beliau seorang yang istiqamah akhlaknya dengan pegangan Islam.

DPPM sekali lagi mengucapkan jutaan tahniah kepada Khairul Idham di atas kejayaan menjuarai GP Jerman ini dan mengharapkan pelumba-pelumba negara yang lain dalam pertandingan Kejuaraan Motosikal Dunia seperti Adam Norrodin dan Hafiz Syahrin terus menyinar untuk mengibarkan Jalur Gemilang dalam perlumbaan yang akan datang.

Sekian, terima kasih.

"Bertekad Melebar Muafakat"

Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).
(Pengarah Jabatan Kesenian, Budaya dan Sukan)



Tidak ada komentar:

Posting Komentar