SELAMAT DATANG

Senin, 08 September 2014

AL KISAH IKAN PELAGA


Ikan pelaga gembira mendapat tuan yang baru. Tuannya meletakkannya di dalam balang yang cantik. Makanan disediakan tiap-tiap hari.

Cuma setiap subuh, tuannya menitis setitis air yang masam ke dalam balangnya. Pada mula-mulanya, ikan pelaga terasa pening, Ada kalanya, terasa mual sehingga perut nak terbalik. Tapi selepas seketika ikan pelaga mula menyesuaikan diri.

Setelah mencuba yang masam, tuannya pula menukar menitik setitis air yang pahit setiap hari. Ikan pelaga mengalami masalah yang sama pada mula-mulanya sebelum menyesuaikan diri.

Ikan pelaga tidak faham mengapa.

Setelah beberapa bulan, tuannya membawa ikan pelaga untuk berlawan dengan yang lain.

Ikan pelaga dituangkan ke satu bekas untuk bertemu lawannya. Keadaan air di bekas itu lain rasa lain daripada air di balangnya. Tapi ikan pelaga cepat menyesuaikan diri dan mengalahkan lawannya dengan mudah.

Ikan pelaga menang berturut selama 3 bulan. 

Anak tuannya bertanya pada ayahnya, “Mengapa ikan pelaga ayah ini hebat sangat?”

“Ayah latih dia dengan air berasid dan beralkali selama ini. Jadi apabila berlawan, ikan pelaga ayah ini boleh bertahan dalam keadaan macammana pun, manakala ikan pelaga lain terpaksa lalui pening dan rasa mual sebelum menyesuaikan diri,” kata ayahnya.

Wahai anakku,

Kadangkala kamu tidak faham mengapa kamu diuji. Kadangkala kamu tak faham mengapa Allah menyuruh kamu melakukan sesuatu. Akan tetapi serahkan dirimu pada Allah, senyum, menghayati pengalaman yang diberikan dan kemudian ambillah pengajaran daripada pengalaman tersebut kerana tiba waktunya nanti kamu akan faham hikmah sebalik ujian yang ditetapkan oleh-Nya kepadamu.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar