SELAMAT DATANG

Minggu, 27 November 2016

ASAS PENTING PENDIDIKAN AWAL ANAK-ANAK

Oleh DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG (Presiden PAS)
Firman Allah:
“Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami di kalangan suami isteri kami daripada zuriat keturunan kami kalangan yang menjadi pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa.” (al-Furqan: 74)
Marilah kita menghayati apa yang disebut oleh Rasululllah SAW,
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (sifat semulajadi yang sangat bersih) maka kedua ibu bapanyalah yang menjadi sebab anak-anak itu menjadi Yahudi, menjadi Kristian dan menjadi Majusi.”
Menunjukkan betapa Allah SWT menjadikan makhluk manusia dalam keadaan bersih, suci dengan sifat semulajadi ciptaan Allah SWT mempunyai jasad yang mulia, mempunyai roh dan akal fikiran. Itulah asal kejadian manusia sehingga mereka dipilih oleh Allah berada di atas muka bumi. Namun mestilah manusia itu dibentuk mengikut acuan penciptanya Allah SWT.
Untuk membentuk manusia, bukan seperti menternak haiwan, bukan seperti menjaga pokok mendirikan bangunan, hendaklah dita'lim, diberi ilmu, ditarbiyyah dan dididik bukan sahaja untuk mengisi jasad dengan makanan-makanan yang berbeza daripada baja pohon, makanan binatang ternakan, makanan yang halal, yang diizinkan oleh Allah SWT, tepat dengan kejadian mereka.
Yang terpentingnya ialah makanan akal dan roh mereka untuk menjadi seorang manusia yang benar-benar dapat melaksanakan tugas di atas muka bumi Allah SWT. Maka Allah menurunkan petunjuk-Nya melalui Rasul-Rasul AS, acuan yang khusus bagi mendidik manusia, bermula daripada permulaannya, sehingga dia meninggal dunia, adalah menjadi satu hikmat yang besar apabila kanak-kanak yang dilahirkan, ditahnik dengan air zam-zam dan buah tamar yang disebut kemuliaannya oleh Hadis Nabi SAW:
“Sesungguhnya air zam-zam itu mengikut tujuan apa diberi minum, tamar merupakan buahan yang berkat, tumbuh di bumi para anbiya'.”
Maka didoakan dengan doa yang betul-betul mendapat berkat daripada tahnik itu, mengikut doanya untuk diberi roh, jasad dan diri yang baik, iman yang teguh, akhlak yang mulia, ilmu yang memberi manfaat, menjadi satu hikmat yang besar mengapa anak-anak yang dilahirkan itu disunatkan azan pada telinganya. Walaupun riwayat hadisnya dikatakan dhoif, tetapi menjadi amalan yang masyhur di kalangan para ulamak. Yang penting bukan sanad riwayat itu, tetapi laungan suara azan itu, yang terpenting ialah ucapan dua kalimah syahadah sehingga meninggal dunia pun disuruh.
Apa makna anak-anak dan bayi dilahirkan itu diucapkan dua kalimah syahadah yang penuh dengan keberkatan, menandakan di sana ada kaitan yang berbentuk diri manusia mengikut acuan Allah SWT.
Yang paling penting ialah mendidik anak itu dengan asas-asas ilmu fardhu ain, ilmu yang wajib di atas tiap-tiap orang lelaki dan perempuan yang mesti diberi sejak zaman kanak-kanak lagi. Ilmu fardhu ain tentang agama ini, yang berkait dengan aqidah, yang berkait dengan amalan, yang berkait dengan akhlak adalah asas yang penting bagi seorang manusia. Walaupun dia seorang ulama, dia seorang profesional, dia seorang rakyat, dia seorang bijak, seorang yang tidak bijak, tetapi ilmu fardhu ain adalah asas.
Menuntut ilmu wajib di atas tiap-tiap orang lelaki dan tiap-tiap orang perempuan. Dalam dunia hari ini, manusia sudah beralih kepada acuan ciptaan sendiri tanpa peduli kepada asas-asas fardhu ain untuk membentuk diri manusia ini. Maka lahirlah ulama-ulama yang jahat, pemimpin-pemimpin yang jahat, profesional-profesional yang lebih bertujuan untuk cari makan daripada menjadikan khalifah Allah di atas muka bumi Allah SWT.
Tujuan kita membuka PASTI, Pusat Asuhan Tunas ini adalah untuk menyempurnakan acuan yang asas, yang sangat penting, untuk membina jati diri anak-anak kita dengan Islam. Ini tujuannya, membina jati diri anak kita dengan acuan Allah SWT walaupun ilmunya dianggap ilmu yang kecil, yang tipis, yang rendah, tetapi adalah tunjang yang sangat penting bagi membina diri manusia. Kelebihan yang sudah pasti dicapai sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW:
“Apabila matinya seorang manusia, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara, sumbangan harta yang kebajikannya berpanjangan, ilmu yang memberi manfaat, anak yang soleh yang mendoakan untuknya setelah meninggal dunia.”
Di mana inilah hasil yang mesti didapati daripada Pusat Latihan yang kita bina ini, yang penting ini. Menunjukkan bahawa kegiatan kita dalam alam PASTI ini satu kegiatan yang sangat penting dalam pendidikan Islam, tak boleh dianggap sebagai satu perkara yang kecil, perkara yang remeh temeh.
Saya mengalu-alukan majlis Alam Ria yang diadakan ini, bukan sahaja untuk menghiburkan anak-anak kita, menghibur dengan hiburan-hiburan, untuk menilai pencapaian mereka. Dalam masa yang sama untuk melatihkan amal jama'ie, amal berjemaah apabila dihubungkan di antara satu sama lain di seluruh negara. Anggaplah majlis ini satu majlis yang sangat penting bagi kita. Dan teruskan kerja amal yang sangat penting ini, mudah-mudahan diberkati oleh Allah, dan saya menumpang berkat sama, dalam kegiatan yang sangat penting, mudah-mudahan diberkati oleh Allah.
(Ucapan Perasmian Penutup Alam Ria PASTI Malaysia di Rusila, Marang, Terengganu pada 24 September baru-baru ini)


Tidak ada komentar:

Posting Komentar