SELAMAT DATANG

Sabtu, 07 Februari 2015

KETIKA YAB MENTERI BESAR KELANTAN BERKULIAH

YAB Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob mempunyai jadual bulanan beliau menyampaikan kuliah pagi jumaat di Dataran Medan Ilmu Kota Bharu. Meneruskan legasi Tok Guru Dato’ Bentara Setia, beliau sentiasa memberi komitmen mempastikan agar kuliah di Medan ilmu berjalan sebagaimana sebelum ini bahkan beliau meminta agar masa kedua iaitu jam 9.30 pagi dikhaskan kepada pengajian bersama dengan Tok Guru Murabbi Ummah tersebut.
YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob seperti biasa akan menyampaikan kuliah sebagaimana jadual tetap beliau di setiap jumaat akhir bulan pada sesi pertama sebelum Tok Guru. Sendainya Tok Guru tidak dapat memberikan kuliah, beliau akan menggantikan tempat Tok Guru tersebut. Sejak daripada awal Tok Guru telah asaskan pengajian tafsir disitu dan sudah beberapa generasi telah berlalu. Saya sendiri sejak berada di tingkatan satu SMU (A) Maahad Muhammadi lelaki sudah mula berjinak-jinak dengan pengajian tafsir Tok Guru sehinggalah ke hari ini masih menuntut siri-siri tafsir beliau.
YAB Ustaz Dato’ Menteri Besar pula mengambil pendekatan mengajar hadis Nabi SAW. Beliau telah memilih kitab hadis ‘Wasoya Al-Rasul’ yang telah disusun serta diperincikan syarahnya oleh Dr Thoha Afifi. Beliau telah memulakan pengajian wasiat Rasulullah SAW sejak dari wasiat pertama dan sehingga hari ini, jumaat 16 Rabiul Akhir 1436 beliau telah mengkhatamkan wasiat Rasulullah yang keempat belas. Method persembahan kuliahnya agak mudah difahami dan sesuai dengan semua latar belakang umur apabila beliau membacakan hadis dan terjemahan lalu dinyatakan beberapa pengajaran melalui hadis tersebut dengan huraian ayat-ayat Al-Quran, hadis-hadis yang ma’thur serta selingan dengan isu-isu semasa yang berlaku.
Ramai yang terpegun dengan kuliah beliau dan sememangnya ramai yang menyatakan "sepatutnya kena panggil Ustaz Mad ini Tok Guru" malah tidak kurang ramai juga di kalangan golongan veteran menitipkan ucapan dimulut mereka "Memang seperti Tok Guru Haji Kob Kelong, ayahnya". Ketokguruan beliau amat terserlah apabila menyampaikan kuliah-kuliah sama ada di Medan Ilmu juga di masjid berbekalkan ilmu yang dipelajarinya dalam bidang syariah di Universiti Al-Azhar. Beliau seringkali dipanggil dalam majlis-majlis rasmi dengan gelaran 'Tuan Guru' seperti ketika beliau menyampaikan amanat di Karnival 60 Tahun PAS Johor, ketika menyampaikan kuliah subuh di salah sebuah masjid di Sungai Limau, Kedah semasa PRK. N20 lalu dan di Terengganu ketika memberikan ucaptama dalam Majlis Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS. Amat tepatlah titipan-titipan bahawa beliau seakan ‘ketokguruan’ bapanya dalam menyampaikan kuliah pengajian.
Ayah beliau, Tok Guru Haji Yakob Ishak merupakan pengasas Pondok Berangan di Tumpat sejak tahun 1942. Tok Guru Haji Yakob atau lebih dikenali dengan Tok Guru Haji Kob Kelong (sempena nama tempat asal beliau, Kampong Kelong Tumpat) adalah seorang yang berjiwa kental dan alim. Beliau mengasaskan pondoknya disaat gerakan menentang penjajah memuncak tambahan pula kedatangan Jepun ke tanah Melayu pada masa itu.
Tok Guru Kob Kelong pernah ditahan dibawah akta ISA bersama Haji Nik Abdullah Arsyad, bapa kepada YB Timbalan Menteri Besar Kelantan sekarang kerana lantang memperjuangkan islam. Darah Tok Guru dan Pahlawan ini turut mengalir dalam diri YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob. Lihat sahaja ketegasan beliau untuk menjayakan pelaksanaan undang-undang islam di Kelantan sehingga dengan lantang dan tegas beliau menyatakan berkali-kali "insya-Allah akan diusahakan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan pada tahun 2015" walaupun mendapat tentangan dan cemuhan hebat dari pelbagai pihak.
MOHD ASRI MAT DAUD
16 Rabiul Akhir 1436
(Penulis ialah Setiausaha Akhbar kepada YAB Menteri Besar Kelantan)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar